"Agak lama tak menjalankan tanggungjawab sebagai isteri... Rindu nak tengok awak makan apa yang saya masak, awak senyum bila saya sambut depan pintu, bilik awak kemas bila saya rajin tukar cadar, makan coklat Cadbury sambil tengok tv sama-sama.. Sabarlah duhai hati. Tanggungjawab sebagai pelajar lebih penting..."
Tengah sibuk memerah otak buat report, mindaku terarah pada tanggungjawab sebagai isteri. Dah hampir 4 bulan berlalu. Semester yang agak panjang bagi seorang isteri yang jauh dari suaminya. Seorang di Melaka, seorang di Shah Alam. Hanya Sabtu dan Ahad menjadi masa yang berharga bila berjauhan macam nih.
Rindu?
Perkataan yang tak perlu di tanya. Hanya Allah tahu rindu pada suami bagaimana rasanya. Tak sama macam masa bercinta. Adat dan agama banyak menjadi garis sempadan. Bila dah bersatu, perasaan sayang bertambah padu. Cinta dalam hati untuknya, setelah Allah dan Rasul. Tapi aku bersyukur, masih terasa nikmat bercinta bila berjauhan. Masih dapat rasa bezanya suami isteri hidup bersama atau berjauhan. Nikmat rindu bila lama tak bertemu. Hanya Allah tahu apa yang tersurat..
Pernah suatu hari, selepas aku balik bercuti naik semester baru, si suami meluah rasa. Merindui gelak tawa dan gurauan aku, merindui telatah dan layanan aku, merindui air tanganku. Sampaikan tak tenang bekerja lebih masa sebab di kepala terbayangkan aku dah memasak untuknya di rumah. Maklumlah, isteri awak kan suka merajuk.
Satu hari, balik dari kerja, tiada siapa yang menyambutnya di muka pintu, menyambut huluran salamnya dengan senyuman di bibir. Tiada siapa yang mahu bergurau dengannya seperti selalu. Rumah tempat kami menyemai kasih sayang sunyi, suram seakan tak berpenghuni. Betapa kehilangan aku dengan tiba-tiba memberi tamparan kepadanya. Hanya 2 bulan cuti sem mampu membahagiakan hatinya. Tetapi, sekejap je masa berlalu dan memisahkan kami.
Suami tak tahu. Masih sebulan cuti berbaki, aku dah mula menghitung hari. Mengharapkan percutian ku setahun lagi. Aku cuba melakukan terbaik untuknya. Jadi isteri dan peneman terbaik untuknya. Semoga aku menjadi serikandinya, penyejuk di mata dengan senyuman ikhlas ku, penawar di hati ketika si suami di badai masalah. 2 minggu berbaki, aku resah sendiri. Dengan tiba-tiba, diri menjadi tamak dengan masa. Sehingga menghantarnya ke muka pintu pun aku tak mahu. Aku hanya inginkan dia.
Ketika kedatangan ibu dan bapa mertua, perhatiannya kepadaku sedikit terarah. Mana mau di layan 3 orang satu masa? Aku jadi wanita penuh rasa cemburu. Cemburu untuk mendapat kasih sayang darinya. Dalam masa yang sama, fokusku padanya sedikit terbahagi. Layanan kepada mertua juga harus diteliti. Tapi, alhamdulillah. Kami sekeluarga sangat bahagia. Siang hari mak mertua menemani. Ketika berada di dapur, mak mertua membiarkan aku berseorangan. Tentulah dia faham, aku ingin suami merasai air tangan aku. Biarlah tugas menjaga kebajikan diambil alih oleh ku pula. Terima kasih mertua!
Teringat pertengahan semester. Si suami tak menunaikan jani. Tak balik Melaka di hujung minggu. Aku merajuk. Merajuk tanpa memikirkan betapa si suami memerlukan aku di sisi. Perjalanan petang Sabtu ke kampus menjadi lawan arah. Stereng menghala ke tol Pedas/Linggi. Aku ambil keputusan menjenguk suami. Sampai di pintu bilik, ku lihat suami terbaring lesu. Tanganku menyentuh dahi. Panas. Mengalir air mata, sebak di dalam hati. Betapa tenat ku lihat suami. Melawan demam panas seorang diri. Suami buka mata, dan terkejut aku di sisi. Sayu bila suami tak makan dari pagi. Aku terus ke dapur, menyediakan bubur dan hidangan untuk suami. Alhamdulillah, petang Ahad, demamnya kebah.
Teringat kembali kata-kata darinya, "..Kalau saya balik jugak, dan berlaku apa-apa pada saya, siapa nak jaga awak, nak jaga anak kita. Saya mintak maaf tak tunaikan janji jumpa awak..."
Sekarang 4 bulan sudah berlalu. Sabarlah duhai hati. Fokus pada final exam yang bakal tiba. Fokus pada kesihatan diri dan anak yang bakal lahir nanti. Moga anak menjadi cerdik, menyerap segala ilmu yang ibumu pelajari ketika ini. Dan menjadi anak yang soleh di kemudian hari.
Tunggu aku wahai suami. Kelak aku akan bersamamu setiap hari.
Komen jika suke, komen jugak jika tersilap. Sayang korang!